STRATEGI PENILAIAN
STRATEGI PENILAIAN
Black dan Wiliam (1998), telah mendefinisikan penilaian formatif sebagai proses untuk mengetahui tahap pembelajaran murid, target yang perlu dicapai oleh murid dan bagaimana untuk meningkatkan tahap pembelajaran mereka. Penilaian formatif biasanya melibatkan pemerhatian, lisan, tulisan dan sebagainya seperti yang dinyatakan oleh Swanwick (1988). Menurut beliau lagi, sifat penilaian formatif tidak merangkumi markah, tahap atau gred dan juga tidak membandingkan murid antara satu sama lain. Sebaliknya, ia menumpukan pada tahap penguasaan secara individu atau kumpulan.
Maka, penilaian formatif merupakan penilaian yang dibuat secara berterusan sepanjang proses pdp oleh guru. Contohnya, soal jawab, latihan pada akhir sesuatu standard pdp terhadap penglibatan serta komitmen murid dalam menjawab soalan yang diberi.
TUJUAN PENILAIAN FORMATIF
Menurut Rahmat Zainul (2016), penilaian formatif membantu guru memperbaiki proses pengajaran. Iaitu, membolehkan guru memperolehi maklumat mengenai kekuatan dan kelemahan pembelajaran yang telah dilakukan dan menggunakan maklumat tersebut untuk memperbaiki, mengubah pengajaran agar lebih efektif dan dapat meningkatkan kefahaman murid.
Selain itu, penilaian formatif membantu guru mengumpulkan maklumat yang menunjukkan keperluan murid dalam subjek yang diajar. Setelah guru memahami apa yang murid perlukan untuk berjaya, mereka dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang efektif agar dapat memenuhi keperluan setiap murid (Greensetin, 2010).
Tambahan lagi, penilaian ini memberi maklum balas berkala kepada guru mengenai hala tuju mereka untuk membantu meningkatkan pencapaian akademik murid. Pada masa yang sama, penilaian formatif membantu murid merapatkan jurang antara pengetahuan semasa dan tujuan pembelajaran mereka. Menurut Greensetin (2010) hal ini mendorong mereka melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran dengan lebih aktif dan perasaan ingin tahu tentang topik pengajaran juga meningkat.
Selain itu, menurut Rahmat Zainul (2016), penggunaan kaedah penilaian yang berbeza akan mendapatkan hasil yang positif. Iaitu penilaian berbentuk pemerhatian, perbincangan murid, maklum balas, penilaian kendiri dan penilaian rakan sebaya. Guru berperanan menyampaikan objektif pembelajaran dan mendorong murid melakukan penilaian kendiri dalam usaha mencapai matlamat. Maklum balas dapat memotivasi murid untuk belajar, mendorong dan meningkatkan hasil pembelajaran.
Seperti yang sedia maklum, penilaian formatif menggunakan data yang dikumpulkan dari pemeriksaan pembelajaran yang kerap, memberi peluang kepada guru untuk membuat keputusan yang betul dan tepat berdasarkan data yang diperolehi (Filsecker dan Kerres, 2012). Ini akan membantu guru membuat analisis dengan mentafsir hasil pengukuran dan memberi maklumat mengenai pencapaian murid, objektif pelajaran, kaedah mengajar, dan kurikulum dari semasa ke semasa.
CIRI - CIRI PENILAIAN FORMATIF
PENILAIAN SUMATIF
Penilaian sumatif merupakan penilaian yang dibuat pada akhir pengajaran iaitu akhir penggal atau akhir tahun dan ia bertujuan untuk menilai pencapaian akhir pelajar. Menurut Rozinah (2000), penilaian sumatif memerlukan cara yang lebih formal dan pengumpulan data biasanya menggunakan kajian komparatif dalam reka bentuk kuasi. Maka, penilaian sumatif dikenali sebagai satu jenis ujian formal untuk mengesan tahap pencapaian dalam sesuatu tahap persekolahan. Bentuk pemarkahan dalam penilaian sumatif mengutamakan aras gred. Penilaian ini dijalankan secara berkala.
TUJUAN PENILAIAN SUMATIF
Terdapat beberapa tujuan untuk menjalakan penilaian sumatif. Salah satunya adalah penilaian sumatif dijalankan untuk menentukan pencapaian murid sebagai satu kumpulan dengan membezakan antara pencapaian murid berdasarkan gred yang telah ditentukan. Dengan ini guru dapat membantu murid secara individu dalam meningkatkan pencapaian.
Selain itu, penilaian sumatif juga dijalankan untuk membantu guru membuat ramalan terhadap kejayaan murid dalam sesuatu mata pelajaran. Setiap peringkat pencapaian murid mempunyai hubungan antara satu sama lain dimana pencapaian peringkat awal mempunyai perkaitan yang rapat dengan peringkat pencapaian seterusnya. Sebagai contoh dalam mata pelajaran matematik, kemahiran mengenal nombor seseorang murid menjadi ramalan kepada kemahiran untuk menyusun nombor dalam turutan menaik dan menurun pada masa akan datang.
Keputusan penilaian sumatif juga dapat menunjukkan peringkat pencapaian yang berbeza mengikut kumpulan. Item yang sama diberikan kepada beberapa kumpulan untuk membuat perbandingan pencapaian yang diperolehi. Melalui ini, guru dapat membuat perbandingan pencapaian dalam menentukan kelompok murid yang lemah, sederhana dan cemerlang.
Seterusnya, penilaian sumatif bertujuan untuk dijadikan sebagai petunjuk dalam memulakan sesuatu kursus yang baru. Sebelum memulakan sesuatu kursus baru, murid dikehendaki terlebih dahulu menduduki ujian yang menentukan peringkat pencapaian mereka. Hal ini keran,a keputusan ujian tersebut dapat memastikan bahawa murid tersebut telah menguasai kemahiran asas yang diperlukan dalam sesuatu kursus baru. Sekiranya murid berkenaan sudah mencapai peringkat tertentu, barulah mereka dibenarkan untuk mengambil kursus tersebut.
Di samping itu, tujuan penilaian sumatif ialah untuk menentukan sejauh mana objektif-objektif sesuatu bidang mata pelajaran yang telah disampaikan oleh guru semasa pdp berlangsung di bilik darjah. Berdasarkan objektif yang telah ditetapkan melalui pembinaan jadual penentuan ujian, peratusan objektif yang dapat dicapai oleh murid dapat diketahui dengan mudah.
Secara kesimpulannya, penilaian sumatif merupakan penilaian yang telah lama dilaksanakan dalam dunia pendidikan dengan tujuan utama untuk memberikan gred kepada pencapaian murid. Oleh itu, startegi penilaian ini digunakan secara menyeluruh untuk memperbaiki sesuatu kurikulum kerana keputusan yang diperolehi adalah lebih menyeluruh.
CIRI - CIRI PENILAIAN SUMATIF
ASPEK |
UJIAN FORMATIF |
UJIAN SUMATIF |
Konsep |
Ujian yang boleh
ditadbir secara formal atau tidak formal untuk mengesan kemajuan atau
penguasaan murid terhadap sesuatu pembelajaran |
Ujian yang
dijalankan secara formal untuk mengesan pencapaian murid dalam tempoh
tertentu persekolahan. |
Tujuan |
Untuk mengenal pasti tahap
penguasaan dan kemajuan murid dan seterusnya mengambil tindakan susulan bagi
membaiki kelemahan yang wujud pada murid. |
Untuk mengenal pasti pencapaian
murid bagi beberapa tajuk pembelajaran dan seterusnya memberikan skor atau
gred pencapaian murid. |
Waktu penilaian |
Sepanjang pdp
berlangsung |
Selepas beberapa
topik pembelajaran atau pada pertengahan tahun atau akhir tahun persekolahan. |
Kaedah |
Formal : Kuiz secara bertulis Tidak formal : pemerhatian, soal
jawab, tugasan, latihan Dibuat secara individu atau dalam
kumpulan |
Dibuat secara formal iaitu ujian
pensel-kertas. Dijalankan secara berkumpulan atau
kelas |
Kesukaran item
atau soalan |
Kesukaran Item
atau soalan akan berubah mengikut penilaian tahap penguasaan. |
Kesukaran item
atau soalan akan wujud pada semua peringkat. Terdapat soalan yang senang dan
susah. |
Tekanan dalam
penilaian |
Penekanan diberi kepada tingkah
laku kognitif, psikomotor dan afektif. |
Penekanan diberi kepada tingkah
laku kognitif sahaja. |
Tindakan selepas
penilaian dilaksanakan |
Membaiki
kelemahan murid dengan mengulang semula topik pembelajaran bagi murid
pemulihan. Manakala
menjalankan aktiviti pengukuhan dan pengayaan bagi murid yang menguasai
kemahiran yang ditetapkan. |
Murid akan
ditempatkan mengikut kumpulan pencapaian yang sesuai. Kemudian, berikan
pengiktirafan kepada murid yang berprestasi tinggi seperti sijil atau hadiah. |
Comments
Post a Comment