Stassen et al. (2001), mendefinisikan penilaian sebagai pengumpulan dan analisis maklumat yang sistematik untuk meningkatkan pembelajaran murid. Definisi ini merangkumi tugas penting penilaian murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Manalaka, menurut Mok Soon Sang (2009), penilaian ialah suatu sistem atau proses yang meliputi aktiviti-aktiviti mengumpul maklumat tentang strategi dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk membuat analisis dan keputusan dengan tujuan mengambil tindakan yang sewajarnya seperti merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran selanjutnya dengan cara yang lebih berkesan. Penilaian membolehkan guru mengukur keberkesanan pengajaran mereka dengan menghubungkan prestasi murid dengan objektif pembelajaran yang ditetapkan. Hasilnya, guru dapat mengenalpasti kaedah dan strategi pengajaran yang berkesan dan menyemak semula kaedah dan strategi pengajaran yang tidak berkesan dalam pengajaran mereka.
Hal ini disokong oleh Wiggens dan McTighe (2005), penilaian membolehkan guru menentukan tahap penguasaan untuk pemahaman murid dan kecekapan dalam objektif pembelajaran secara kursus. Mereka berpendapat bahawa penilaian memberikan bukti yang diperlukan untuk mendokumentasi dan mengesahkan bahawa pembelajaran bermakna telah berlaku di dalam kelas. Maka, penilaian membantu guru menilai perkembangan potensi secara menyeluruh dan bersepadu dari aspek intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.Berdasarkan buku panduan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah Edisi Ke-2 (2019) telah memperincikan tiga proses penilaian dalam pembelajaran iaitu :
Rajah 1 : Jenis Penilaian Dalam Pembelajaran
a. Penilaian Untuk Pembelajaran
Penilaian ini dikenali sebagai proses pembelajaran berterusan.Contoh pentaksiran ini ialah aktiviti soal jawab semasa pembelajaran dijalankan. Maklumat yang diperolehi dapat membantu guru meneruskan pengajaran dan pembelajaran (pdp) seterusnya. Berdasarkaan penilaian ini, guru juga berkongsi matlamat pembelajaran bersama murid supaya mereka tahu tentang perkara yang ingin mereka capai pada waktu tersebut.
b. Penilaian Sebagai Pembelajaran
Penilaian ini lebih mengutamakan penglibatan aktif murid dalam proses penilaian. Tujuan penilaian sebagai pembelajaran ialah memberikan ruang dan meningkatkan autonomi murid untuk memperbaiki diri sendiri kerana mereka perlu menetapkan matlamat sendiri dan perkara yang ingin dicapai. Contoh pentaksiran ini ialah murid membina peta konsep tentang apa yang telah dipelajari bagi mempamerkan pemahaman dan hubungannya dengan pengetahuan semasa. Pentaksiran ini memberi peluang kepada murid belajar dan memikirkan cara mereka belajar daripada rakan sebaya.
c. Penilaian Tentang Pembelajaran
Pentaksiran tentang pembelajaran berlaku pada akhir sesuatu tempoh, tajuk atau bidang pembelajaran. Biasanya berlaku dalam bentuk ujian sumatif. Tujuan utama penilaian ini adalah tugas atau kegiatan untuk mengukur dan melaporkan tahap pencapaian pelajar berkenaan dengan jangkaan pembelajaran tertentu. Rubrik permarkahan juga digunakan untuk menentukan kedudukan seseorang murid dalam proses pentaksiran ini.
Comments
Post a Comment